Friday, April 22, 2011

Lambatkan kedutan wajah


MASIH ramai yang keliru dan menganggap penuaan berlaku sebaik sahaja usia mencecah 40 tahun sedangkan hakikatnya pada usia 20-an lagi tanda-tanda penuaan mula wujud. Jika tidak percaya, lihatlah wajah anda di depan cermin. Sekiranya terdapat garis-garis halus yang menyerupai kedutan di ekor mata, itu bermakna proses penuaan sedang berlaku terhadap diri anda.

Menurut Pengarah Eksekutif Kajian dan Pembangunan Clinique, Dr. Tom Mammone, gaya hidup dan persekitaran yang terdedah pada cuaca yang tidak menentu dan pencemaran yang teruk menjadi penyumbang kepada kerosakan kulit.

"Bagaimanapun, sebelum munculnya garis halus dan kedutan, anda akan mengalami kulit kusam, bintik hitam dan kulit kering.

"Jika wanita tidak mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan yang betul, tidak mustahil proses penuaan akan berlaku lebih awal daripada usia," katanya yang tidak menyarankan wanita melakukan rawatan laser pada wajah kerana ia boleh merosakkan lapisan dalaman kulit.

Pengurus Kanan Pendidikan Clinique, Christine Leong pula memberitahu, kebanyakan wanita bagaikan sudah mengerti bahawa rejim penjagaan wajah secara sistematik dan penggunaan produk yang betul mampu mengatasi masalah garis halus dan kedutan. Malangnya, kecenderungan itu hanya pada produk tetapi mengabaikan perkara asas yang lain.

"Benar, pilihan produk yang betul membantu menyelesaikan masalah kulit wajah yang dihadapi. Tetapi tiada gunanya jika kita hanya bergantung pada produk sahaja tanpa menitikberatkan rejim penjagaan yang utama.

"Kulit kusam sukar untuk ditangani sekiranya wanita masih tegar merokok ataupun kurang tidur. Malah, tabiat ini turut mendorong kehadiran kedutan dan garis-garis halus sebelum usia," ujar Christine ketika ditemui Stailo baru-baru ini.

Dalam temu bual berkenaan, Christine membincangkan beberapa faktor yang harus diberi perhatian supaya wanita dapat mencegah dan melambatkan proses penuaan. Antaranya:

Tabiat merokok

Tidak dinafikan wanita moden kini menganggap tabiat merokok sebagai satu trend dan gaya hidup urban, sedangkan sudah banyak bukti saintifik menunjukkan tabiat itu mengganggu kualiti hidup sepanjang hayat. Malah, tidak mustahil seseorang itu bakal mengalami masalah paru-paru, jantung dan strok.

Bagi perokok wanita, selain masalah kesihatan yang dinyatakan anda jangan terkejut sekiranya kulit wajah anda tampak lebih tua dan kendur berbanding rakan sebaya yang menjalani kehidupan sihat.

"Merokok mempercepatkan proses penuaan. Asap rokok merupakan salah satu sumber radikal bebas yang boleh merosakkan sel kulit dan menambah tanda-tanda penuaan," jelas Christine.

Pemakanan tidak seimbang

Selain itu, pemakanan yang tidak seimbang juga mempercepatkan proses penuaan. Wanita disarankan mengambil makanan yang rendah kalori dan bebas minyak.

Banyakkan mengambil sayur-sayuran yang mengandungi vitamin dan serat serta makanan berprotein tinggi. Secara amnya, vitamin dan protein membantu menghaluskan kulit wajah sekali gus bertindak mengurangkan bintik-bintik hitam dan garis-garis halus.

Kekurangan air

Kulit kelihatan kusam, tidak bermaya dan kering sekiranya kita kurang mengambil air kosong. Christine menyifatkan meminum air kosong sebanyak lapan gelas sehari mampu memberikan kelembapan pada kulit wajah.

Sinaran UV
Sinaran ultra ungu (UV) merupakan vitamin D yang baik untuk tubuh bagi menyerap kalsium. Namun, terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Kesannya, kulit menjadi kering dan kasar, pori-pori terbuka manakala kedutan menonjol. Tidak ketinggalan, kulit hilang kenyal, ton warna kulit tidak sekata dan kehadiran bintik hitam. Sebab itu penting memakai krim antisinaran UV sebelum keluar rumah.

Kurang tidur

"Biar sibuk manapun waktu tidur harus dititikberatkan. Pastikan anda tidur selama lapan jam sehari. Sebaik-baiknya tidur sebelum pukul 12 tengah malam. Ia bertujuan agar kulit sihat dan bermaya setiap pagi," ulas Christine.

-KOSMO
Share this article :

No comments:

Post a Comment

Apa Komen Anda????

BLOGGER CHAT ROOM