Saturday, March 26, 2011
MENARA PAGODA CETUS KELAINAN.
PANDANGAN hadapan Masjid Tengkera yang menyimpan pelbagai sejarah.
Jika penduduk tempatan mahupun pelancong kenal akan keenakan laksa nyonya, popia dan cendol di sebuah warung popular di Kilometer 7, Jalan Tengkera, pastinya berkesempatan untuk mengagumi keindahan masjid ini.
Terletak bersebelahan antara satu sama lain, Masjid Tengkera adalah binaan yang lari daripada stereotaip kebanyakan masjid di Malaysia yang lazimnya berkubah ‘bawang’.Terletak dalam daerah Melaka Tengah, masjid ini dibina pada tahun 1728 iaitu ketika pemerintahan Belanda. Tarikh pembinaan tersebut menjadikannya masjid yang kedua tertua di Melaka selepas Masjid Peringgit.
Mengikut sejarahnya, masjid ini pada asalnya diperbuat daripada kayu dengan berbumbungkan atap daun nipah. Bagi melambangkan kemewahan material, tiangnya adalah binaan daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Indonesia.
Namun, peredaran waktu dan keadaan cuaca secara fitrahnya menjejaskan beberapa bahagian masjid tersebut. Maka, pembaharuan dibuat dari semasa ke semasa.
Perubahan yang jelas dicatatkan dalam hayat Masjid Tengkera adalah pada tahun 1890. Dinding dan lantainya yang diperbuat daripada kayu itu telah diganti dengan konkrit, sementara lantainya pula dihiasi jubin yang berwarna dan bercorak.
Namun begitu, elemen kayu nyata mempunyai nilai sentimental yang tidak dapat diganti dengan apa-apa binaan sekalipun.
Walaupun telah melalui fasa pembaharuan, masih terdapat beberapa bahagian yang masih menerapkan keunggulan pertukangan kayu. Selain struktur bumbungnya, tiang serinya juga kekal daripada material kayu.
RIAS mimbar tidak ketinggalan menghimpunkan elemen dunia Nusantara, termasuk juga pengaruh unsur Siam dan Cina.
Pada tahun 1910, sekali lagi masjid ini diperbaharui dengan kerja-kerja pembinaan semula. Ketika itu, perimeter kawasan diperjelas dengan binaan pagar dan pintu gerbang.
Pondok wakaf dan sebuah menara konkrit yang meminjam seni bina pagoda turut dibina. Begitu juga dengan kerja-kerja memperkemas kemudahan lain seperti kolah air, bilik air beserta tandas.
Dari sudut seni bina, masjid ini boleh dikatakan menggabungkan seni bina Cina dan Islam. Secara perbandingan, ia mempunyai persamaan ciri dengan Masjid Kampung Laut di Kelantan, serta Masjid Demak yang terkenal di Jawa, Indonesia.
Selain menyusun niat untuk memakmurkan masjid dengan rutin ibadah, seseorang yang melangkah ke ruang sisi seterusnya ke ruang solat utama tentu akan jatuh cinta pada kehalusan kraf dan pertukangan yang terpamer.
Pahatan motif flora pada batu serta ukiran kerawang pada kayu jelas terlihat pada pintu masuk, jendela, serta tangga.
Solekan warna emas pada ukiran di mimbar, tiang, kepala pintu mengangkat imej anggun pada sebuah rumah ibadat yang usang. Penerapan batu marmar Cina pada bahagian tertentu juga menambah seri, selain meninggalkan kesan sejuk dan selesa pada jemaah.
Kehadiran unsur Cina bukan sahaja dizahirkan melalui binaan menara yang mirip binaan pagoda yang bertingkat. Pada bumbung Masjid Tengkera misalnya, terdapat ragam hias di tulang rabungnya yang menyerupai hiasan pada atap tokong.
Malah ada kajian sejarah yang mengaitkan beberapa garis reka dan motif pahatan batunya dengan seni bina Jepun dan juga Korea.
Walaupun begitu, umum menyatakan bahawa seni bina Masjid Tengkera sebenarnya berasaskan warisan tradisi Melayu-Nusantara.
Keunikan reka bentuk Masjid Tengkera turut dipersetujui oleh pakar sejarah betapa ia membuktikan bahawa Islam telah bertapak di Melaka sejak 600 tahun lampau.
Jika berkunjung ke negeri legenda Hang Tuah ini, Masjid Tengkera adalah salah satu lokasi yang wajib untuk dilawati.
Ia menyerlah dalam tarikan tersendiri kerana diwarnai sejarah kegemilangan zaman perdagangan Selat Melaka. Nilainya kaya kerana menghimpunkan kepelbagaian entiti hasil pertembungan budaya suatu ketika dahulu.
Sumber: KOSMO
Sumber: KOSMO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Apa Komen Anda????