Saturday, March 26, 2011

SUSHI


Makanan Jepun yang paling terkenal adalah sushi. Namun ia dikatakan berasal dari China dan diperkenalkan di Jepun pada kurun ketujuh. Ketika itu, ikan diperam dengan garam dan beras supaya tahan lama. Sushi menjadi kegemaran ramai kerana ia juga diperbuat daripada beras. Malah ikan peram juga seringkali menjadi bahan isiannya.
Terdapat pelbagai jenis sushi. Jenisnya bergantung pada isinya (bahan sumbat) dan bagaimana ia digulung. Ada nori (bahan daripada rumpai laut) di sebelah dalam, ada yang di luar. Ada juga yang disalut dengan telur udang. Sushi yang paling mahal tentulah yang menggunakan telur ikan yang paling sukar diperoleh.
Sushi ideal untuk yang berdiet (selagi tidak mengandungi terlalu banyak telur atau bahan berkolesterol tinggi). Selalunya, ia sangat rendah lemak dan berkhasiat. Sebanyak tujuh hingga sembilan keping sushi mempunyai 300 hingga 450 kalori. Protein dan lemak asid omega-3 datangnya daripada ikan. Sementara sayur-sayuran adalah sumber vitamin. Nori pula kaya dengan iodin. Manakala karbohidrat kompleks terkandung di dalam nasi.
Nori melalui pelbagai proses untuk menghasilkan varieti nori seperti rangup dan kenyal. Baunya agak unik dan berbeza serta tidak begitu menyelerakan bagi sesetengah orang. Namun nori merupakan bahan penting dalam pembuatan sushi.
Bahan perisa yang paling penting ialah kicap cair (juga dijual atas jenama Kikkoman) dan wasabi (horseradish Jepun). Kicap adalah sebagai pencicah. Kadangkala ia dicampur dengan wasabi. Rasa wasabi bukan saja pedas menyengat tetapi ‘kepanasannya’ boleh menjalar sehingga ke telinga. Anda mungkin rasa kurang selesa. Untuk menghilangkan rasa ini, minumlah air banyak-banyak.
Bahan sampingan lain ialah halia jeruk. Ia dipanggil gari. Gari dimakan secara berselang-seli dengan setiap kunyahan sushi untuk menyegarkan mulut bagi menikmati rasa yang seterusnya. Halia jeruk yang diwarnakan merah boleh dibeli di dalam botol di pasar raya yang menjual bahan mentah Jepun.
Ikan mentah dipanggil sashimi. Ikan yang biasa dimakan mentah adalah salmon. Manakala belut yang diasapkan (smoked eel) dipanggil unagi. Rasa unagi sangat sedap kerana ada bau asap. Lagipun isi belut begitu lembut, ia seolah-olah cair di dalam mulut bila dikunyah.
Selalunya, sushi disediakan dengan beras jenis Calrose. Namun begitu, oleh kerana ia sukar didapati, saya menggantikan dengan beras biasa (untuk menanak nasi). Bahan yang memasamkan nasi untuk sushi adalah mirin atau sejenis wain beras.
Oleh kerana mirin mengandungi 14 peratus alkohol, saya cuba menggunakan cuka biasa yang berwarna putih (di dalam botol). Selain daripada itu, saya juga mencampurkan sedikit mayonis supaya nasi berasa lemak dan melekit serta mudah digulung.
Timun Jepun atau timun yang berasal dari Eropah juga dikenali sebagai courgette. Ia lebih rangup dan hijau daripada timun biasa di negara kita. Ia juga kurang berair dan tidak akan merosakkan rasa sushi. Namun begitu, sekiranya sukar didapati, anda masih boleh gunakan timun biasa.
Selain ketam dingin beku dan telur dadar yang dipotong memanjang, anda boleh menggunakan isi salmon yang disalai dan hot dog. Pastikan hot dog dimasak terlebih dulu. Sekiranya mahu menggunakan seekor udang rebus, boleh diletakkan di atas sushi dan tidak perlu digulung seperti biasa.
Telur yang dibuat scramble juga boleh digunakan. Malah ada banyak variasi bahan bergantung pada kesukaan dan kreativiti masing-masing. Ada juga yang menggunakan serunding sebagai bahan isian sushi. Nampaknya kita telah mengubah selera sajian popular orang-orang Jepun ini!
Untuk menyimpan sushi yang sudah siap, bungkus dengan plastik nipis. Kemudian bungkus pula dengan aluminium foil. Selepas itu, simpan di dalam bekas kedap udara dan letak di atas rak peti sejuk. Bila hendak dimakan, baru dikeluarkan dan dibiar pada suhu bilik selama satu jam sebelum dipotong. Sushi sesuai dibawa sebagai bekalan ke sekolah atau berkelah.
Nori pula mesti disimpan di dalam bekas kedap udara selepas bungkusannya dibuka. Semasa membeli nori, pastikan saiznya besar. Ada jenis yang telah siap dipotong dan tidak sesuai untuk resipi di bawah ini. Nori mudah menyerap kelembapan udara. Ia akan menjadi lembik dan tidak rangup lagi.
Modal membuat sushi tidak mahal. Anda harus mempunyai pelapik buluh bagi memudahkan anda menggulung sushi. Namun, jika tiada, ia tidak menimbulkan masalah besar. Anda masih boleh menggulungnya dengan kemas sekiranya berhati-hati. Jika selalu membuat sushi di rumah, anda pasti akan menjadi mahir!


Sumber: KOSMO
Share this article :

No comments:

Post a Comment

Apa Komen Anda????

BLOGGER CHAT ROOM